Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Balak atau bala. Siapa yang benar soal pampasan RM1 bilion

Balak atau bala. Siapa yang benar soal pampasan RM1 bilion

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam mendedahkan kerajaan negeri terpaksa membayar RM1 bilion sebagai bayaran ganti rugi kepada pemegang konsensi balak sekiranya mereka tidak diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja menebang balak di negeri itu.

Bercakap kepada media semalam, Muhammad Sanusi yang dilantik Menteri Besar pada minggu lepas memaklumkan kerajaan terdahulu telah membatalkan penebangan balak walaupun kerajaan negeri telah mengutip premium daripada syarikat pemegang konsensi balak berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, akibat pembatalan itu kerajaan negeri berhadapan tindakan mahkamah dan sekiranya tidak mahu ke mahkamah perlu membayar pampasan RM1 bilion dan satu lagi pilihan membenarkan pembalakan di kompartmen lain.

Bagaimanapun bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pula mempersoalkan mana datangnya angka RM1 bilion berkenaan, sedangkan sewaktu beliau menerajui kerajaan angka itu tidak pernah timbul.

“Mana mai tuntutan sampai RM1bilion tu pula? Zaman Pakatan Harapan (PH) tak sampai dua minggu yang lepas pun tak ada tuntutan daripada pemilik konsesi balak sebanyak itu.

“Saya dah pesan dalam ucapan saya ketika melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar untuk tidak membuka balik kawasan balak di Kedah” kata Mukhriz.

Muhammad Sanusi

Kenyataan Mukhriz turut disokong bekas Exco kerajaan negeri, Asmirul Anuar Aris yang berkata, sepanjang 24 bulan sebagai Exco kerajaan negeri tidak pernah jumlah sebanyak itu dibincangkan di dalam mesyuarat.

Katanya, perkara yang pernah dibincangkan ialah mantan Menteri Besar sering mempertegaskan, pembalakan di Kedah akan hanya merosakan ekosistem negeri akibat penebangan hutan yang berleluasa.

“Pelik bin ajaib apabila era pemerintah PH yang baru berakhir tidak sampai dua minggu secara tiba-tiba telah muncul kewujudan jumlah tuntutan sebanyak itu,” kata beliau.

Mukhriz Mahathir

Perang dua kem itu berterusan apabila ada pihak memuatkan salinan hansard soal jawab sidang dewan undangan negeri Kedah semasa kerajaan PH yang mahu menunjukkan bahawa soal pampasan itu berada di dalam pengetahuan Mukhriz.

Di dalam transkrip berkenaan Mukhriz yang merupakan Menteri Besar semasa itu menjawab soalan ADUN Belantek, Mohd Isa Shafie menjelaskan bahawa premium yang telah dibayar bagi hutan simpan Ulu Muda kira-kira RM200 juta, dan memang benar tuntutan yang dibuat agar kerajaan membayar ganti rugi sebanyak RM40,000 bagi satu hektar.

Kata Mukhriz, tuntutan RM40,000 itu terlalu tinggi dan kerajaan negeri sedang berunding lagi.

Isunya adalah siapa yang benar dalam soal ini.

Kerajaan negeri sekarang harus tampil dengan bukti lengkap bagi menyokong dakwaan bayaran ganti rugi RM1 bilion berkenaan. Jikalau tidak, kerajaan negeri akan dianggap bersandiwara.

Pada rakyat pilihan yang mereka mahu adalah kerajaan negeri tidak perlu membenarkan balak ditebang dan pada masa yang sama menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin bagi mencari penyelasaian terbaik dan tidak merugikan isu pampasan RM1 bilion berkenaan.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed meminta kerajaan negeri membuktikan tuntutan RM1 bilion berkenaan.

Mahathir Mohamad

Menulis di facebook beliau, Dr. Mahathir berkata, “Takut disaman pembalak? Katanya ada saman RM1Bilion? Sanggup tunduk ke pembalak? Buktikan saman RM1bilion itu wujud & kerajaan negeri akan kalah. Berani kerana benar.”

Dr. Mahathir berkata, dahulu, konsesi balak diberhentikan untuk menyelamatkan kawasan tadahan air, untuk memberi bekalan air kepada pesawah di Kedah dan Perlis.

Kini konsesi balak mahu dibuka semula untuk mengisi poket si pembalak, kini si pembalak diagungkan dan kepentingan rakyat dan petani digadaikan.

Kata Dr Mahathir, kini sejarah baru lagi tercipta, khazanah Kedah dijarah demi ‘Pelaburan strategik’ si pembalak.

Jangan jual rakyat.
Jangan jual hutan.
Jangan jual khazanah Kedah demi kawan kamu, si pembalak. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com