Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Syarikat korporat diseru pertimbang pemberian elaun latihan praktikal

Syarikat korporat diseru pertimbang pemberian elaun latihan praktikal

oleh admin

KUALA LUMPUR : Syarikat-syarikat korporat dan besar dalam negara ini diseru agak mempertimbangkan pemberian elaun yang munasabah kepada pelajar ketika menjalani latihan industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan menetapkan satu kaedah khusus untuk mewajibkannya.

“Ada satu perkara yang disuarakan oleh anak-anak muda. Oleh kerana ketua-ketua korporat dan syarikat besar ada, saya diminta (oleh) anak muda berusia 17 tahun dan 18 tahun dan yang berada di tingkatan enam, yang bagi cadangan kepada Perdana Menteri dalam dialog.

“Saya bagi pengakuan yang saya akan ambil pandangan itu dan bentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri, dan ini (cadangan elaun dibawa) juga kepada rakan-rakan yang hadir iaitu kita menggalakkan latihan industri kerana pendedahan dan latihan itu penting.

“Tetapi mereka (anak-anak muda) juga menyebut kita faham latihan industri itu bukan pekerjaan biasa tetapi itu peluang peringkat awal. Namun, bagilah sedikit elaun yang munasabah.

“(Elaun itu untuk) perjalanannya, tambangnya, makannya, dan dia (anak-anak muda) faham itu bukan gaji atau upah.Kerajaan tidak akan tetapkan satu kaedah yang jelas kerana ini program praktikal yang tidak boleh dipaksa,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kita berucap pada Majlis Perasmian bagi Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Dewan Persidangan Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri pada program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata bayaran yang terlalu rendah oleh majikan terhadap pelajar yang sedang menjalani latihan industri disifatkan sebagai tidak munasabah.

Anwar berkata majikan seharusnya mempertimbangkan untuk membayar jumlah yang sekurang-kurangnya mampu menampung kos perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar berkenaan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata penglibatan banyak syarikat yang menyediakan latihan industri akan memberi manfaat yang lebih baik kepada anak-anak muda.

Mengambil contoh ketika menjadi Ketua Pembangkang, Anwar berkata beliau terpaksa mencari peruntukan tambahan untuk membayar sekurang-kurangnya RM1,000 kepada pelajar praktikal ketika itu.

“Jadi saya bagi pihak anak-anak tingkatan enam dan mahasiswa, sampaikanlah keluhan mereka untuk diberi pertimbangan dan saya harap dapat sambutan yang baik daripada suadara untuk diberikan elaun,” tambah Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com