Friday, 3, May, 2024
Utama Sukan Rombak kesebelasan utama Harimau Malaya lawan Papua

Rombak kesebelasan utama Harimau Malaya lawan Papua

oleh Ammar Haziq

KUALA TERENGGANU – Kim Pan Gon mahu melakukan perubahan pada kesebelasan utama Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan Tier 1 menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Menurutnya, selepas menumpaskan Kepulauan Solomon 4-1 baru-baru ini, ruang perlu diberikan kepada pemain lain yang tidak diturunkan sebelum ini.

“Saya mahu menjadikan mereka terus bersaing antara satu sama lain. Saya mahu mereka rasa tiada kesebelasan utama yang tetap, sesiapa sahaja boleh berada dalam skuad utama. Persekitaran begini yang saya suka,” katanya.

Pan Gon berkata lagi, beliau mahu memanfaatkan sebaik mungkin perlawanan tersebut yang dianggap sebagai eksperimen bagi menguji semua pemain Malaysia.

Jelasnya, persaingan dalam kalangan pemain diharapkan terus meningkat menjelang saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

“Sekarang kita ada dua pemain untuk satu posisi jadi mudah-mudahan boleh meletakkan tiga. Jadi semua orang perlu bersaing antara satu sama lain untuk tempat dalam kesebelasan utama.

“Apabila kita beri mereka peluang untuk bermain, mereka perlu tunjukkan kepada kita bahawa mereka lebih baik daripada pemain lain dalam posisi itu,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com