KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan strategi untuk meningkatkan pasaran modal Malaysia yang dijangka dapat membantu mengukuhkan nilai ringgit.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setakat ini asas ekonomi negara masih lagi teguh.
“Ia tidak saling berkait, tetapi mudah-mudahan kita boleh…Apa yang paling penting adalah asas (ekonomi) adalah kukuh,” kata Anwar kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai sama ada pengumuman tersebut akan membantu mengukuhkan mata wang tempatan.
Bagi meluaskan pilihan pelaburan mengikut kemampuan rakyat, ditambah dengan hasrat untuk menggalakkan lagi minat pelabur dalam pasaran modal, Anwar juga mengumumkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities akan dikurangkan kepada 0.10 peratus nilai kontrak daripada 0.15 peratus pada masa ini, tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak, berkuat kuasa Julai.
Kementerian Kewangan dan SC juga akan berusaha untuk meluaskan definisi pelabur sofistikated dengan melibatkan sekali ‘angel investor’ (pelabur mangkin).
Manakala SC dan Bursa Malaysia akan melaksanakan pembaharuan untuk memudahkan penyenaraian di bursa pada tahun ini dengan mempercepatkan proses tawaran awam permulaan (IPO) serta memendekkan masa ke pasaran bagi memastikan daya saing dan daya tarikan Malaysia.
Sementara itu, program CMGP yang dilancarkan hari ini itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan perancangan tenaga kerja yang mampan bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam pasaran modal.