Tuesday, 7, May, 2024
Utama Nasional Anwar hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta esok

Anwar hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta esok

oleh admin

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 bermula esok hingga 7 September ini di Jakarta, Indonesia.

Serentak itu, Perdana Menteri menghadiri Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada.

Turut berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, di luar Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar turut menghadiri Upacara Perasmian ASEAN-Indo Pacific Forum (AIPF) esok, yang akan memberi ruang kepada pemegang taruh untuk berbincang secara inklusif bagi meneroka kerjasama demi menggalakkan perkembangan ekonomi berdaya tahan, mampan, transformatif dan kreatif di rantau ini.

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan akan membolehkan Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha pembinaan komuniti ASEAN, Komuniti ASEAN Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta isu-isu serantau dan antarabangsa.

“Penyertaan Malaysia juga akan menunjukkan komitmen berterusan negara terhadap kerjasama serantau dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, semasa di Jakarta, Perdana Menteri turut dijangka bertemu dengan beberapa rakan sejawat pada sela-sela mesyuarat.

Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pula, katanya, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-27 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-34.

Beliau juga akan bertemu dengan beberapa rakan sejawat pada sela-sela mesyuarat semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com