KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour mampu meneruskan pelaksanaan dasar monetari yang mampan dan stabil.
Keyakinan terhadap Shaik Abdul Rasheed itu dikongsi Perdana Menteri menerusi ucapan di Twitter selepas mengadakan pertemuan di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
“Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.
“Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Gabenor yang baharu dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta,” katanya.
Pada 9 Jun lalu, BNM mengumumkan pelantikan Shaik Abdul Rasheed sebagai Gabenor BNM berkuat kuasa 1 Julai ini, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun sehingga 30 Jun 2028.
Beliau akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang akan menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Nor Shamsiah atas jasa baktinya berkhidmat sebagai Gabenor BNM sejak 1 Julai 2018 dan menjadi wanita kedua dilantik ke jawatan penting itu selepas Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.