LANGKAWI – Sebuah bot nelayan asing dari negara Thailand yang sedang melakukan aktiviti tangkapan ikan di perairan negara telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis di kedudukan lebih kurang 2.4 batu nautika barat laut Pulau Jemurok, Langkawi pada tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, bot berkenaan ditahan ketika bot Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan rutin di perairan Langkawi.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut dikendalikan dua kru termasuk tekong masing-masing berumur 37 tahun dan 44 tahun. Pemeriksaan lanjut turut menemui dokumen pengenalan diri mereka yang meragukan. Bot nelayan asing berkenaan turut didapati tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Perikanan Malaysia
Kesemua mereka serta bot berkenaan ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.
Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.
Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang termasuk aktiviti perikanan tanpa permit, pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia dan salah laku yang lain.
Sebarang maklumat berkenaan penguatkuasaan dan carilamat, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk maklum balas segera.