Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Lelaki tempatan tidak sempat seludup 1.5 tan benih kerang

Lelaki tempatan tidak sempat seludup 1.5 tan benih kerang

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1.5 tan benih kerang menggunakan bot fiber pada jarak sekitar 0.5 batu nautika timur pesisir Padang Keria, Sanglang pada jam 4.14 petang semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan bersama sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dilakukan oleh bot ronda milik Maritim Malaysia semasa melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

Bot fiber berkenaan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan cuba memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot fiber yang membawa 100 guni penuh benih kerang terbabit dalam perjalanan menuju ke sempadan negara untuk cubaan menyeludup benih kerang terbabit ke negara Thailand.

Bot, enjin dan benih kerang yang dianggarkan bernilai RM80,000 ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan, Perkara 4(3) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa benih kerang dari suatu tapak kerang semulajadi atau tapak kerang dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia akan terus komited dan menggandakan usaha dalam melakukan operasi dan pemantauan di sepanjang perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang terutamanya menjelang perayaan Aidiladha tidak lama lagi.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com