Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Ringgit jatuh namun pertumbuhan dan pelaburan Malaysia meningkat

Ringgit jatuh namun pertumbuhan dan pelaburan Malaysia meningkat

oleh admin

KUALA LUMPUR:Kejatuhan nilai mata wang ringgit dipengaruhi oleh kadar faedah negara yang terlalu rendah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan banyak pelabur ‘lari’ ke negara lain seperti Indonesia dan Singapura yang menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi.

Bercakap pada program Temu Anwar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Anwar menambah walaupun nilai ringgit jatuh, kadar pertumbuhan ekonomi dan pelaburan dalam negara masih menunjukkan peningkatan.

“Masalah kita sekarang, kalau kita naikkan kadar faedah terlalu tinggi dan ia akan bebankan syarikat-syarikat kecil dan sederhana dan orang pinjam di peringkat bawah.

“Jadi kita kena runding macam mana nak strike balance supaya kadar faedah itu tidak menyebabkan pelabur bawa wang keluar.

“(Tetapi) kalau ekonomi kita itu (jatuh) menjunam, itu lain. Maka nilai mata wang jatuh, pelaburan dan pertumbuhan jatuh tetapi kita tidak.

“Suku pertama pertumbuhan (Malaysia) mengatasi Singapura, Indonesia dan China dengan nilai pelaburan kita mencecah RM71 bilion untuk empat bulan pertama. Cuma kita kena cari jalan bawa balik pelaburan dengan beberapa insentif,” katanya pada program tersebut, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara usaha yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini adalah mewujudkan hab kewangan di Johor dan mengurangkan kos dalam pelaburan saham.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com