Thursday, 2, May, 2024
Utama Politik Perbezaan politik bukan senjata permusuhan – PM

Perbezaan politik bukan senjata permusuhan – PM

oleh admin

NILAI:Perbezaan politik tidak boleh dijadikan sebagai senjata permusuhan di negara ini, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perbezaan itu sepatutnya menjadi cadangan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat.

“Baru-baru ini dibangkitkan isu perjanjian persempadanan dimeterai antara beliau dengan Presiden Indonesia Jokiwi (Joko Widodo), dan perkara itu sudah pun saya jawab di Parlimen,

“Namun ia masih terus dimainkan, dengan pelbagai tuduhan kononnya ia bagaikan menjual maruah negara, tidak bertanggungjawab dan khianat kepada negara.

Perkara ini hangat dikeluarkan di media sosial dengan penuh penipuan dan fitnah.

“Ini masalah kita, tidak bolehkah perbezaan politik ini jangan kita jadikan senjata permusuhan, senjata fitnah.. tetapi jadikan perbezaan ini untuk bagi cadangan yang lebih baik, saya belum dengar lagi apa cadangan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru Anwar berkata kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadi jentera bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat yang benar dan menangkis perkara yang palsu kepada masyarakat.

Sementara itu Perdana Menteri sekali lagi menjelaskan bahawa kenaikan purata tarif eletrik hanya melibatkan mereka dengan penggunaan melebihi 1,500 kilowatt (kwj), sekali gus tidak membebankan golongan kurang berkemampuan.

“Tentang pengurangan subsidi elektrik, dia (pembangkang) kata kita bebankan rakyat, pengurangan ini dikurangkan kepada pengguna 1,500 kWj… tetapi kempen (pembangkang) kata ia beban kepada rakyat…siapa yang buat keputusan nak naikkan dulu? Kerajaan terdahulu (Perikatan Nasional) buat keputusan itu, ada hitam putih.

“Orang biasa, penjawat awam, tidak termasuk dalam kategori kena bayar kadar elektrik yang lebih tinggi. Kita ambil langkah ini supaya wang itu kembali kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan eBelia Rahmah pada 26 Jun ini,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata Jemaah Menteri telah memutuskan tidak akan menambah hutang kerajaan lagi kerana memahami impak yang akan ditanggung pada masa akan datang.

“Hutang lebih RM1 trilion untuk diselesaikan dalam setahun atau dua tahun, ia tidak mudah, tetapi kita akan cuba, kerajaan tanggung defisit 5.6 peratus…dalam jemaah menteri, kita putuskan jangan hutang lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com