ALOR SETAR – Seorang pempengaruh media sosial dari Kuala Lumpur antara 284 individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Aidiladha di Jalan Pegawai, dekat sini, malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan bersama individu dalam operasi yang bermula 11 malam hingga 3 pagi.
Menurutnya, ‘ikon permotoran’ tersebut terkenal dalam kalangan geng permotoran di negara Ini.
“Pada pagi raya korban ini, mereka telah ‘mengorbankan’ diri sendiri. Sayang kerana golongan muda inilah yang bakal menjadi aset negara pada masa hadapan. Saya harap mereka tidak akan mengulangi kesalahan yang sama,” katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kota Setar pada Khamis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh hadir sama ke balai tersebut .
Jelas Ahmad Shukri, semua 284 individu itu terdiri daripada 281 lelaki dan tiga wanita. Mereka berusia antara 15 hingga 20-an dan 10 daripadanya merupakan remaja bawah umur.
“Sebanyak 50 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat,” ujar beliau.
Menurutnya, sebanyak 194 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu, mengubah suai motosikal, tiada cermin sisi, tiada insurans serta cukai jalan dan lesen tamat tempoh.
“Mereka dilepaskan selepas proses dokumentasi selesai dan bagi remaja bawah umur yang tidak mempunyai lesen, waris akan dipanggil dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik motosikal,” katanya lagi.