PERMATANG PAUH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin mahupun Dewan Ulama Pas, untuk membetulkan beberapa kekeliruan yang ditimbulkan penyokong partI itu sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata ulama dari parti itu sepatutnya perlu memberi teguran kemudian memperbetulkan kesilapan terhadap apa jua kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan umat.
Katanya, ia termasuk kenyataan bekas Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli baru-baru ini, yang menyatakan bahawa sesiapa sahaja tidak menyokong Pas adalah musuh Allah.
“Apakah benar orang tidak bersama dengan Pas adalah musuh Allah. Kalau betul, pasal apa arwah Tok Guru (Tan Sri) Nik Aziz sokong saya dan saya bukan ahli Pas pun. Ini mereka (pemimpin atau Dewan Ulama Pas) kena jawab,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Minum Petang bersama penduduk Kampung Sama Gagah, dekat sini hari ini.
Sebelum ini, Syeikh Muhd Zainul mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berkait isu ‘musuh Allah’ ketika program Himpunan Kedah Berselawat pada 24 Jun lepas, namun beliau telah memohon maaf serta mengakui kesilapan mengungkap kalimah berkenaan.
Anwar turut mendesak kepimpinan Pas membetulkan dakwaan lama yang dikeluarkan penceramah bebas itu, antaranya Nabi Adam A.S turun di Gunung Jerai, Kedah.
“Dua, dakwaan Saiyiddina Uthman bin Affan sampai di Kedah…kita kata dakwah tapi mengizinkan kepalsuan. Betul ke tidak, kalau tidak betul mengapa tidak ditegur,” kata Perdana Menteri.