Sunday, 12, May, 2024
Utama Nasional Anwar dakwa terima ugutan daripada ‘geng kaya raya’

Anwar dakwa terima ugutan daripada ‘geng kaya raya’

oleh admin

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau menerima ugutan daripada ‘geng kaya raya’ dalam usaha beliau membersihkan negara.

Katanya, beliau akan tetap mempertahankan prinsipnya melawan rasuah dan salah guna kuasa dan tiada masalah dengan ugutan yang diterima.

“Macam-macam ugutan saya terima, geng-geng kaya raya ini dah berpakat. Saya tak ada masalah, itu kerja dia.

“Geng-geng penyakau besar berbilion-bilion berpakat sekarang ini nak buat hidup Melayu…hang (kamu) buat lah, saya lawan tetap lawan untuk pertahankan prinsip ini,” katanya ketika berucap pada kenduri korban dan solat Jumaat di Masjid Jamek An-Nur, Kampung Guar Perahu di sini, hari jni.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau terbuka untuk ditegur dan dikritik sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaannya, namun bukan difitnah tanpa fakta dan penilaian yang adil.

Beliau mengakui dirinya mungkin ada kekurangan serta kelemahan dan bersedia ditegur, namun bukan dicerca dan fitnah.

“Politik ini bukan fitnah…boleh kritik kerana saya bukan betul semua, saya pun ada kekurangan mungkin saya tak tahu, mungkin saya ada kelemahan tapi bagi tahu la.

“Tapi cerca dan fitnah ini tak boleh, tidak kira sesiapa pun Cina atau Melayu, pakai kopiah atau kot, ini tak boleh,” katanya.

Beliau turut mengulas dakwaan perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia ditandatanganinya bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 8 Jun lalu membabitkan blok perairan itu sebagai fitnah dan tidak benar.

Jelasnya, beliau tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan blok Ambalat berikutan tidak bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan Indonesia dan begitu juga dengan Indonesia yang tidak bersetuju dengan tuntutan Malaysia.

“Jadi yang tu tangguh…yang lain kita tandatangan tapi belum ada fakta.

“Ini di luar sana ada yang mengatakan seolah-olah Anwar ini seorang Perdana Menteri yang khianat dan jual kepentingan negeri kita,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com