SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinannya bukan anti Islam seperti yang didakwa beberapa pihak.
Beliau sekali gus menepis dakwaan bahawa dirinya meninggalkan Islam, sekular atau liberal hanya kerana berkawan dengan DAP.
Malah katanya, peruntukan untuk agama Islam lebih tinggi berbanding dahulu.
“Pengalaman saya sekarang dalam kerajaan, dengan pimpinan UMNO, Pakatan Harapan(PH) dan DAP di sini, kita buat keputusan belum berlaku dalam sejarah yang peruntukan untuk Islam lebih tinggi berbanding dahulu.
“Bantuan untuk sekolah agama rakyat yang dahulu dibatalkan, tetapi saya memilih untuk kita bantu semua sekolah agama rakyat. Di mana yang kata kita anti Islam? Adakah kerana saya tak berjubah berserban?,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), semalam.
Menurut Anwar, tiada makna jika seseorang itu sekadar bercakap mahu menyelamatkan Melayu dan Islam tetapi mengizinkan negara dipimpin oleh mereka yang menyakau harta rakyat.
“Melayu bagaimana boleh diselamatkan jika pemimpin tak amanah. Islam bagaimana nak ditonjolkan jika tak menjadi contoh negara diurus dengan baik,”katanya.
Selain itu katanya, Kerajaan Perpaduan tidak akan kukuh hanya dengan parti gabungan PH saja.
Tambahnya, kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bagi menentukan dasar negara yang boleh membentuk tata kelola yang baik.