LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika timur laut Pulau Tanjung Dendang di sekitar jam 10.30 malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.
Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan lima kru kesemuanya warga tempatan lingkungan umur antara 27 hingga 40 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda (tarik tepi).
Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1.5 tan telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.
Kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak lima batu nautika daripada pantai.
Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.