Monday, 29, April, 2024
Utama Politik Sekadar peringatan daripada PM, bukan ugutan

Sekadar peringatan daripada PM, bukan ugutan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR- Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan satu undi daripada ahli UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai pengkhianatan besar kepada bangsa, parti dan agama, bukan boleh ditafsirkan sebagai ugutan.

Sebaliknya Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia sekadar peringatan kepada ahli parti itu supaya tidak menjadi pembelot sehingga memberi kemenangan kepada parti lawan.

“Sebenarnya itu bukan ugutan, sepatutnya memang seperti itu. Mana-mana ahli yang menganggotai parti itu sudah semestinya mengundi parti itu, bukan kepada pihak lawan.

“Kita jadi ahli UMNO tetapi tidak mengundi UMNO, semua orang tahu tindakan itu mengkhianati parti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Mahdzir, kenyataan itu merupakan peringatan biasa daripada seorang pemimpin kepada ahli parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Peringatan itu juga katanya, dibuat agar ahli UMNO tidak melakukan undi protes terhadap Pakatan Harapan (PH) berikutan PH kini bergabung dengan BN.

“Peringatan ditujukan kepada ahli, sebab ada kalangan pemimpin UMNO yang sudah keluar daripada UMNO, atau telah berhenti menjadi ahli UMNO, atau dipecat daripada parti.

Kumpulan-kumpulan itu masih ada dalam masyarakat. Kalau mereka ahli parti lain pun, tetapi tak undi parti itu, itu pun satu pengkhianatan,” jelasnya.

Sabtu lalu, ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, Anwar mengingatkan ahli UMNO dan bekas ahli parti itu supaya tidak memberi undi kepada musuh.

Pengerusi PH itu berkata, tindakan ahli UMNO mahupun bekas ahli UMNO mengundi musuh politik adalah satu pengkhianatan besar kepada bangsa, parti dan agama.

Ditanya sama ada akan berlaku undi protes ahli UMNO terhadap calon PH, Mahdzir yakin ahli BN mahupun PH telah memahami konsep Kerajaan Perpaduan dan akan saling menyokong antara satu sama lain.

“Sehingga kini, sejak kerjasama BN-PH terjalin, saya percaya masyarakat sudah faham makna Kerajaan Perpaduan.

Cuma saya akui ada sedikit sebanyak kerisauan namun kita cuba yang terbaik di tempat masing-masing untuk berikan kefahaman bahawa BN dan PH kini telah tubuhkan Kerajaan Perpaduan dan berada dalam sebuah kerajaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com