KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan mengejut di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan di sini.
Beliau melakukan lawatan ke sekolah terbabit selepas menghadiri program di Sungai Besi.
“Saya sempat mengadakan lawatan mengejut di SK Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan tengah hari tadi.
“Saya tinjau keadaan infrastruktur dan fasiliti sekeliling sekolah termasuk status tandas yang kini dalam penambahbaikan secara berperingkat untuk dinikmati dan digunakan warga sekolah.
“Sayugia, adalah menjadi harapan saya agar warga sekolah khasnya para murid dapat menikmati kemudahan disediakan dalam mewujudkan persekitaran selesa serta kondusif,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri telah melakukan pemeriksaan mengejut di dua buah sekolah hari semasa menghadiri program di Sekinchan, Selangor.
Dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Rendah Agama Ehyaul Falah dan SK Seri Makmur yang terletak dalam kawasan Parlimen Sungai Besar.