Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Isu Pulau Pinang milik Kedah :Sanusi sedia dokumen satu beg bagi keterangan polis

Isu Pulau Pinang milik Kedah :Sanusi sedia dokumen satu beg bagi keterangan polis

oleh Ammar Haziq
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia disiasat dan akan menyerahkan segala dokumen berkaitan kenyataannya berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah kepada polis.

Memetik laporan Sinar Harian,  pegawai penyiasat dari Bukit Aman difahamkan akan merakamkan keterangannya pada Rabu.

Menurut Muhammad Sanusi, penyiasatan atas sesuatu isu merupakan perkara biasa sahaja.

“Biasalah siasat di dunia, siasat di akhirat lagi teruk. Bukit Aman (polis) datang jumpa, itu biasalah, mereka buat kerja mereka, saya buat kerja saya, adillah,” ujarnya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata,  rakaman berkaitan kenyataannya kemungkinan akan dilakukan pada sebelah petang Rabu di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman.

Menurutnya, beliau tidak dapat mendedahkan waktu sebenar rakaman keterangan akan dibuat berikutan perlu mempengerusikan mesyuarat exco terlebih dahulu.

“Saya tak tahu polis nak datang jam berapa, saya perlu hadiri mesyuarat exco dulu, mungkin selepas itu akan dibuat rakaman.
“Siasat di dunia ini biasa saja, apa yang saya boleh dedahkan, saya dedahkan. dokumen ada dalam satu beg saya bawa. Nanti saya fotostat bagi seorang satu salinan. Lawaklah dunia ini,” jelasnya lagi.

Pada Selasa, Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin memaklumkan polis akan merakam keterangan Muhammad Sanusi pada Rabu di Alor Setar, berhubung kenyataannya mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com