KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi ditampilkan agensi kerajaan sepanjang tempoh beliau menerajui pentadbiran Persekutuan sejak lapan bulan lalu.
Beliau berkata, pihaknya bangga kerana tiada sebarang kecurangan, ketirisan atau kerosakan, terutama dalam skala besar, sepanjang tempoh itu.
Mengambil contoh Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), beliau berkata agensi di bawah Kementerian Kewangan itu telah mempamerkan prestasi yang baik dalam pengurusannya.
“Saya dah hampir lapan bulan dalam kerajaan, mengetuai negara ini, saya bangga, saya meneropong, menelusuri setiap agensi dan minta dipantau teliti kalau ada apa-apa kekurangan, ketirisan, kerosakan, terutama berskala besar.
“Dan syukur Alhamdulillah, setakat ini AmanahRaya prestasinya baik dan saya harap semangat ini dikekalkan kerana ia tidak hanya terletak kepada pimpinan sahaja malah seluruh jentera juga harus menjamin kebersihan (AmanahRaya),” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Ulang Tahun ke-100 AmanahRaya dan pelancaran logo khas 100 tahun agensi itu di Bukit Kiara hari ini.
Anwar juga berkata AmanahRaya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memegang amanah golongan miskin, orang kurang upaya dan anak yatim.
Beliau berkata ini kerana mereka yang tidak memikul tanggungjawab terhadap golongan itu dengan baik dianggap melakukan satu khianat dan berdusta kepada agama.
Perdana Menteri juga mahu semua pihak bersedia untuk bersama-sama beliau melakukan anjakan paradigma dalam usaha mengangkat martabat negara.
Beliau berkata perubahan ke arah kebaikan itu adalah perkara yang dituntut oleh Islam bagi meninggalkan aspek buruk yang merosakkan negara.
Anwar berkata semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa dunia berubah sekali gus menuntut beberapa tindakan baharu dan meneruskan beberapa ciri positif selain meninggalkan aspek buruk serta lama.
“Dalam konteks agama Islam, perubahan ini dituntut dan mesti tercetus daripada hati nurani serta jiwa murni,” katanya.