Sunday, 5, May, 2024
Utama Politik PH optimis mampu pertahan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram

PH optimis mampu pertahan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram

oleh admin

ALOR SETAR – Pakatan Harapan (PH) yakin gabungan itu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kedua-kedua kerusi itu akan menjadi milik kerajaan Perpaduan berdasarkan pemerhatian situasi semasa di kawasan berkenaan.

“Saya semalam berada di Johor, saya optimis Simpang Jeram dan Pulai akan dapat dipertahankan PH dan kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas menyerahkan mok cek sumbangan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar Raudhah, Sungai Durian, Pokok Sena di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya
Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa gelombang PN bakal melanda Johor, Saifuddin berkata perkara itu akan terjawab pada keputusan PRK 9 September ini.

Hari ini penamaan calon kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru dalam PRK kawasan berkenaan.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat, disahkan sebagai calon PH di kerusi Parlimen Pulai.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor dan Ketua AMANAH Bahagian Pulai akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.

Zulkifli adalah Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pulai yang juga usahawan kelahiran Tampoi.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi, pula diumumkan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Pulai.

DUN Simpang Jeram PH meletakkan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman sebagai calon sementara PN diwakili pakar bedah, Dr Mazri Yahya manakala S Jegananthan mewakili Bebas.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com