KUALA LUMPUR:Debat Perdana Madani adalah salah satu cara dan pendekatan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyumbang dalam menjayakan Malaysia Madani.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata secara asasnya, terdapat beberapa dimensi penting yang menjadi penegasan kita dalam menganjurkan Debat Perdana Madani ini.
“Pertama, Malaysia Madani bukan sahaja tentang sistem nilai yang unggul atau idea besar. Lebih utama, ini adalah satu seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanahair.
“Sebagai sebuah Kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana Madani ini adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.
“Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar, untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanahair,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamed Khaled berkata bagi pihak KPT, Debat Perdana Madani ini adalah sebuah projek untuk negara yang memfokuskan kepada penjanaan idea dan buah pandangan.
Ini kerana katanya, tanpa idea dan buah pandangan yang pelbagai, tidak ada agenda dan misi bersama negara yang akan berjaya.
“Kedua, Debat Perdana Madani adalah pentas kita memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia Madani.
“Malaysia Madani adalah gagasan besar yang bersifat etos nasional tetapi untuk sesebuah gagasan besar itu berjaya dan mencapai matlamat murninya, kita mesti mengisi gagasan tersebut dengan cara yang betul, praktikal dan strategik.
“Idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara yang berkesan, akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong,” jelas beliau.