Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan beriltizam tadbir urus hal ehwal Islam sebaiknya

Kerajaan beriltizam tadbir urus hal ehwal Islam sebaiknya

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan beriltizam memastikan tadbir urus berkaitan hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaiknya seperti dihasratkan oleh Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya sentiasa bersiap siaga menambah baik hal ehwal Islam di negara ini supaya ia bersifat lebih inklusif.

Katanya, usaha itu bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam di Malaysia, malah rahmat kebaikan agama Islam akan turut dirasai masyarakat bukan Islam.

“Patik dan seluruh jentera Kerajaan Perpaduan khususnya agensi Islam menjunjung duli dan beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya seperti mana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-Raja.

“Patik meyakini dengan perkenan dan restu Duli-Duli Tuanku jua, usaha memperkukuhkan institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan dan negeri-negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian susulan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat MKI jelas menzahirkan keprihatinan Sultan Selangor terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

“Sekalung penghargaan juga kepada ahli MKI dan wakil negeri-negeri yang hadir dan turut serta dalam mesyuarat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com