Friday, 22, November, 2024
Utama Tech Peranti satelit Starlink akan diperluas ke seluruh negara

Peranti satelit Starlink akan diperluas ke seluruh negara

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Pemasangan peranti satelit Starlink di kawasan yang mempunyai capaian Internet lemah akan di perluaskan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menempah 30 peranti berspesifikasi tinggi itu dengan 10 daripadanya telah diperoleh.

Beliau berkata, empat daripadanya telah dipasang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah; Kampung Orang Asli (KOA) Kemensah, Gombak; KOA Tonggang, Tambun di Perak dan KOA Sungai Temon, Johor Bahru.

“SKMM sedang mengenal pasti lokasi lain yang bersesuaian termasuk Sabah dan Sarawak yang memerlukan capaian Internet lebih baik.

“Kami akan bincang dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai dan memerlukan untuk kita pasang peranti ini. Semua ini belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat tapak pemasangan peranti satelit Starlink di KOA Sungai Temon di sini pada Sabtu.

Menurut Teo, pemasangan peranti tersebut diharap menjadi penyelesaian sementara bagi lokasi yang tidak mempunyai akses atau capaian Internet lemah, sementara usaha untuk menambah baik capaian Internet dapat diteruskan.

Katanya, kawasan KOA Sungai Temon mengalami gangguan frekuensi kerana berdekatan dengan Singapura, menyebabkan talian telefon mereka bersambung dengan frekuensi Singapura kerana capaian frekuensi yang lebih kuat.

“Dengan kemudahan ini, ia akan dapat menambah baik akses capaian Internet kepada penduduk khususnya dalam sektor pembelajaran anak-anak Orang Asli,” katanya.

Buat masa ini, kos bagi satu unit peranti Starlink berspesifikasi tinggi bernilai RM11,613 dan peranti tersebut berperanan sebagai Wi-Fi hotspot dengan jarak liputan kira-kira 100 meter bergantung kepada tempat pemasangan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com