Sunday, 28, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan bersedia laras tangga gaji penjawat awam

Kerajaan bersedia laras tangga gaji penjawat awam

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Kerajaan bersedia untuk melakukan pelarasan tangga gaji penjawat awam termasuk pensyarah dan profesor menerusi Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan.

Beliau berkata, kajian skim gaji dan persaraan penjawat awam itu dijangka selesai pada tahun depan.

“Saya melihat pelarasan gaji pensyarah, profesor dan penjawat awam sudah 10, 12 tahun tidak dikaji, tidak dinaikkan.

“Padahal mengikut peruntukan, setiap 10 tahun perlu ada pelarasan (gaji)… tandas bocor kerja saja, gaji pun kerja saya, saya tidak boleh mengadu… saya Perdana Menteri kena selesaikan semua masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar Johor Bahru di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

Program dialog yang berlangsung kira-kira sejam setengah itu dihadiri hampir 4,000 pelajar, pendidik dan orang awam.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Dalam perkembangan lain, Anwar menasihati generasi muda supaya menolak politik fitnah yang cuba diterapkan segelintir pemimpin politik negara ini, sekali gus mengubah naratif politik masa depan.

Beliau berkata, pendekatan segelintir pemimpin politik khususnya pembangkang, dilihat tidak sesuai untuk diikuti generasi muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara nanti.

“Anak-anak muda perlu mempunyai gaya pemikiran yang kritis agar dapat membezakan antara fakta dengan fitnah.

“Saya percaya insya-Allah kita boleh angkat Malaysia sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini. Siapa yang boleh lakukan… anak muda. Orang lama asyik hendak gaduh sahaja, fitnah. Fikir sendiri, fikirkan sesuatu untuk selamatkan negara ini.

“Anak muda perlu mengubah naratif politik dan ekonomi negara ini kerana merekalah yang boleh menyelamatkan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com