IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan cadangan inisiatif kewangan RM300 juta diperuntukkan untuk membina tandas bertaraf ‘Bersih, Menawan, Wangi’ atau ‘BMW’ di seluruh negara, adalah antara cadangan agenda reformasi kemudahan awam negara yang dikemukakan kementerian itu bagi Belanjawan 2024.
Menterinya Nga Kor Ming berkata cadangan itu adalah antara 29 inisiatif yang dicadang kementerian berkenaan dalam pertemuan pihaknya dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, dua hari lepas.
“Kita juga memohon RM100 juta untuk menukar lampu jalan konvensional kepada lampu LED atau lampu berkuasa solar yang lebih lestari di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Pangsa Seri Kepayang, Fair Park di sini semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijangka membentangkan Belanjawan 2024, 13 Oktober depan.
Sementara itu, Nga berkata pihaknya menyasarkan untuk menyiapkan 10,000 MyKiosk untuk penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara menjelang 2025.
Beliau berkata tahun ini 3,073 kiosk akan disiapkan untuk diagihkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi disewakan kepada peniaga serta penjaja kecil dengan kadar sewa minimum.
Nga turut mengumumkan peruntukan tambahan RM750,000 kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi tujuan naik taraf dan menyelenggara 11 projek.
“Ia adalah bagi tujuan naik taraf kemudahan sembilan projek rumah pangsa dan dua penempatan semula nelayan,” katanya.