Monday, 29, April, 2024
Utama Gaya Hidup Koc tren LRT khas ‘Cerita Malaysiaku’ rai Hari Malaysia

Koc tren LRT khas ‘Cerita Malaysiaku’ rai Hari Malaysia

oleh admin

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil inisiatif melancarkan koc khas tren LRT bagi laluan Kelana Jaya sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata tren ‘Cerita Malaysiaku’ dibalut khas dan dihiasi dengan visual yang memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya.

“Ini selaras dengan usaha kita sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Saya harap di masa depan kita dapat hias lebih banyak koc bagi LRT dan MRT untuk menyemarakkan lagi rasa kasih sayang kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ dari Stesen Universiti ke Stesen KLCC.

Inisiatif tren ‘Cerita Malaysiaku’ ini tercetus sebagai penghargaan serta berkongsi fakta dan maklumat berkaitan negara agar ianya sentiasa diperingati.

Laluan Kelana Jaya yang merupakan laluan dengan jumlah penumpang tertinggi serta jajaran yang melalui kawasan berkepadatan tinggi termasuk segitiga emas Kuala Lumpur, dipilih sebagai platform untuk inisiatif ini.

Orang ramai dapat melihat keunikan tema tren yang berbeza bagi setiap koc seperti Rukun Negara, Negaraku, kebudayaan, perayaan, kepelbagaian makanan, tempat-tempat menarik dan juga sejarah pengangkutan awam di Malaysia.

Pengguna yang menaiki tren ‘Cerita Malaysiaku’ akan disajikan dengan pelbagai maklumat yang menarik di sepanjang perjalanan untuk ke destinasi yang ingin ditujui.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com