Thursday, 21, November, 2024
Utama Ekonomi KSP RMK12 bernilai RM415 bilion, terbesar dalam sejarah

KSP RMK12 bernilai RM415 bilion, terbesar dalam sejarah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM415 bilion.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undian suara ahli Dewan Rakyat lebih ramai yang bersetuju.

Kesemua kementerian selesai menghabiskan sesi jawapan menteri-menteri bermula semalam dan hari ini sebelum diakhiri penggulungan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

KSP RMK12 disediakan bagi mengukur pencapaian sepanjang dua tahun pertama pada 2021-2022.

Selain itu, ia akan mengetahui hala tuju bagi tahun 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.

Pada 11 September lalu, Malaysia melancarkan pelan pembangunan bertemakan Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi dengan peruntukan tambahan sebanyak RM15 bilion itu bagi merancakkan pertumbuhan aktiviti ekonomi ketika negara berdepan kelembapan permintaan global, kekangan hutang lebih RM1 trilion dan cabaran ketidakstabilan politik berterusan.

Semakan RMK12 menyaksikan usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor strategik, pelaksanaan infrastruktur penting dan menangani isu struktur yang membelenggu negara berdekad lamanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat kekal sebagai hala tuju dan penentu program pembangunan dan akan menjadi asas kepada perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kelak.

RMK12 merupakan rancangan lima tahun (2021-2025) dibentang Kabinet terdahulu diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM400 bilion untuk projek pembangunan sedia ada dan baharu.

Ketika itu, ia adalah peruntukan kewangan terbesar negara yang pernah diluluskan RMK11 sebelum ini berjumlah RM260 bilion.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sebelum ini dilaporkan berkata, KSP RMK12 perlu dinilai semula sepenuhnya disebabkan sifatnya yang ‘unik’ dan mempunyai dua situasi berlainan.

Katanya, perancangan dibuat Kabinet terdahulu sebelum pandemik Covid-19 sudah tidak boleh lagi dipakai dan kajian separuh penggal kali ini sebagai rancangan baharu negara di bawah Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com