KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke New York pada Selasa malam bagi menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Anwar yang ditemani isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadualkan berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030 di persidangan tersebut.
“Dalam perhimpunan bersama pimpinan dunia ini, saya antara lain akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, hala tuju negara di bawah kerangka Malaysia MADANI serta beberapa isu global lain.
“Doakan misi delegasi Malaysia berjalan lancar, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), pada Jumaat ini.
Beliau merupakan pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian oleh masjid pertama di bandar itu yang dibuka pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, Perdana Menteri juga akan bertemu pemimpin dan kapten industri dari sekurang-kurangnya lima negara semasa lawatan kerja beliau ke sini dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia selain menarik pelaburan ke negara ini.
Pada Khamis, Anwar dijadual menyertai Perbincangan Meja Bulat dengan Fortune 500 Companies dan sesi libat urus dengan Invest Malaysia New York.
Pada hari sama, Anwar akan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.