KUALA LUMPUR – Malaysia akan memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran dalam pelbagai bidang demi manfaat kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hasrat itu dinyatakan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi di New York yang dikongsi menerusi catatan di Facebook hari ini.
“Dalam pertemuan ini, saya nyatakan hasrat Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu,” katanya.
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu Malaysia turut mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) dan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Ekonomi (JEC) antara kedua-dua negara bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama.
“Semoga hubungan Malaysia dan Iran akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri.
Anwar kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78.
Presiden Raisi merupakan pemimpin asing kedua yang mengadakan pertemuan dengan Anwar di New York hari ini selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.