NEW YORK: Malaysia telah menyatakan kesediaannya untuk membeli peralatan ketenteraan dari Turki, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, sebelum ini, ada peralatan ketenteraan yang telah dibeli daripada Korea Selatan, dan menurutnya peralatan sesuai yang hendak dibeli dari Turki ini akan diputuskan oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia.
“Kita mungkin lihat dron dan helikopter… lihat pengkhususan dan kepakaran Turki. Namun saya serahkan pada pihak tentera, mana yang terbaik,” kata Perdana Menteri selepas pertemuan dua hala dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Turkish House, di sini, hari ini.
Katanya, terserah kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan terbabit dalam pembelian peralatan ketenteraan itu.
“Dasar saya ialah seperti yang saya katakan kepada Ketua Turus Bersama (Joint Chief of Staff), kita tidak mahu sebarang campur tangan mengenai apa yang perlu diperoleh, apa yang perlu dibeli,” katanya.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, Erdogan juga telah menyatakan persetujuan beliau untuk melawat Malaysia pada bulan Disember depan.
Anwar kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.