Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional Logo kasut mirip kalimah Allah : SKMM ingatkan jangan sentuh sensitiviti 3R

Logo kasut mirip kalimah Allah : SKMM ingatkan jangan sentuh sensitiviti 3R

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA – Orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum, raja) melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah itu akan diambil sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu terbabit dan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“SKKM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat dalam media sosial melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah ALLAH, untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kepada suruhanjaya itu melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my, untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini.

Pada Ahad, tular foto dan video memaparkan logo kasut keluaran syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan kalimah ALLAH dan ia mengundang pelbagai reaksi netizen..

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pula dalam kenyataan memaklumkan JAKIM diarah memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut pada Isnin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com