Monday, 28, October, 2024
Utama Nasional Malaysia capai kejayaan jika berpegang syariat Islam, nilai murni Rasullah – Agong

Malaysia capai kejayaan jika berpegang syariat Islam, nilai murni Rasullah – Agong

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Negara akan mencapai puncak kejayaan hakiki sekiranya terus berpegang kepada syariat Islam dan nilai-nilai murni serta akhlak tinggi Nabi Muhammad SAW dalam tadbir urus negara.

Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selain tadbir urus, sebuah negara membangun dan berjaya juga perlu diisi dengan sifat-sifat kemuliaan manusia.

“Lantaran itu, pada pagi yang penuh bermakna ini, beta menyeru agar kita untuk terus berpegang kepada tuntutan Allah SWT dan ajaran yang dibawa oleh Rasullah SAW.

“Dengan yang demikian, kita akan membangunkan sebuah negara yang bertamadun dan berjaya, harmoni serta sejahtera dengan rakyat yang menjiwai sifat-sifat ‘karamatul insan’ (kemuliaan manusia).

“Beta optimis bahawa negara kita akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai-nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa oleh Rasullah SAW menjadi pegangan tadbir urus negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Khamis.
Turut berkenan hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama dalam majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Titah Al-Sultan Abdullah lagi, Maqasid Syariah juga perlu menjadi kerangka asas dalam menyampaikan perkhidmatan agar kemaslahatan rakyat terpelihara.

“Rasullah SAW hadir sebagai pembawa rahmat ke sekalian alam. Orang-orang yang mendapat rahmat tersevut adalah mereka yang mengikuti jejak baginda dalam keimanannya, tata kelakuannya dan akhlaknya.

“Sedalam mana cinta kepada Allah SWT, boleh diukur melalui sejauh mana kita mengikuti ajaran Rasullah SAW.

“Sesungguhnya, ketaatan dan kecintaan kepada Allah SWT serta Rasullah SAW ialah kunci syurga kepada setiap umat Islam,” titah baginda lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com