IPOH: Kerajaan sedia menyusun semula pemberian subsidi yang disifatkan sebagai tidak munasabah kerana turut dinikmati oleh golongan kaya dan rakyat asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian subsidi kerajaan dianggap antara yang paling tinggi di dunia, namun perkara itu tidak salah dan tetap boleh diteruskan.
Katanya, namun ada subsidi yang sampai ke tahap tidak munasabah yang perlu disusun semula.
“Saya cuma fikirkan kaedah subsidi ini kadang kala sampai tak munasabah. Kalau ditanya saya apakah subsidi minyak boleh diteruskan, ya (boleh diteruskan) tapi janganlah subsidi ini juga dinikmati berjuta-juta orang asing. Orang Singapura masuk Malaysia pun dapat subsidi minyak, orang Thailand masuk Malaysia pun kenderaan dia dapat subsidi minyak.
“Orang paling kaya yang ada kereta Mercedes sampai empat lima buah pun kita bayar subsidi juga.
“Jadi kita kena susun semula subsidi yang disebut rasionalisasi subsidi supaya kita dapat manfaatkan kepada yang memerlukan dan yang berhak,” katanya.
Beliau berucap pada Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar menjelaskan, kerajaan boleh meneruskan dasar popular dengan meneruskan subsidi namun ini akan menyebabkan negara terpaksa berhutang.
Menurutnya, hutang negara sekarang sudah mencecah RM1.5 trilion dan menambah hutang bukan cara dalam menguruskan negara.
“Menurut pakar ekonomi, mengurus ekonomi negara sama seperti mengurus ekonomi rumah tangga. Kalau pendapatan bulanan RM2,000 tetapi berbelanja sampai RM4,000, ini menyebabkan orang lain susah. Sebab itu saya kata kita tak mahu tambah hutang,” katanya.
Anwar berkata, antara pendekatan dalam memastikan subsidi dinikmati golongan sasar ialah seperti rawatan di hospital kerajaan, dengan bayaran yang sedikit malah untuk rakyat miskin, ada juga yang percuma.
Katanya, namun subsidi rawatan kesihatan juga dinikmati golongan yang kaya.
“Jadi salahkah kalau kerajaan kata kita kekalkan rawatan, tingkatkan dan berikan rawatan lebih baik bagi seluruh rakyat tapi golongan yang paling kaya kita kena bayaran lebih tinggi.
“Ada orang yang gajinya RM40,000 sebulan, ada yang gaji RM1 juta sebulan, Tabung Haji bagi subsidi kerana pencarum Tabung Haji dapat subsidi.
“Tapi saya dapat laporan ada yang pendapatannya sampai RM1 juta sebulan, jadi kenapa dapat subsidi kerajaan lagi? Kalau nak haji mabrur, bayarlah sendiri pergi haji, TH cuma akan bantu dari segi pengurusan.
“Kita bagi subsidi kepada petani, nelayan, pekerja dan pegawai kerajaan, polis, tentera, ini okey untuk kita terus beri subsidi.
“Sebab itu tahun ini Tabung Haji buat pertama kali menetapkan mereka yang kaya tidak dapat subsidi, dia bayar sendiri (untuk menunaikan haji),” katanya.