Thursday, 7, December, 2023
Utama Nasional 112,887 isi rumah B40 terima manfaat Skim Perubatan MADANI

112,887 isi rumah B40 terima manfaat Skim Perubatan MADANI

oleh Ammar Haziq

IPOH: Seramai 112,887 isi rumah kumpulan B40 telah menerima manfaat Skim Perubatan MADANI setakat Jumaat lepas, sejak skim itu diperkenalkan tiga bulan lepas.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata skim itu telah mendapat sambutan yang amat positif dan menggalakkan daripada pihak berkenaan dengan sebanyak 181,460 rawatan pesakit luar telah diberikan setakat ini.

“Merujuk kepada data demografik, penerima manfaat terdiri daripada pelbagai lingkungan umur termasuklah kanak-kanak, dewasa dan warga emas, dan ini jelas menunjukkan bahawa Skim Perubatan MADANI membantu semua lapisan masyarakat.

“Sejak mula dilaksanakan, sebanyak 1,587 klinik swasta telah mendaftar dan memberi perkhidmatan di bawah skim ini,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan berusaha untuk menambah baik skim itu dengan mengambil kira input dan cadangan daripada pelbagai pihak, supaya memenuhi keperluan rakyat dan pengamal perubatan.

Katanya antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuklah penambahan jenis ubat-ubatan dan kenaikan kadar kos pembiayaan kepada klinik swasta termasuklah kos prosedur dan X-ray.

Dr. Zaliha berkata KKM juga akan menilai semula penambahan skop perkhidmatan Skim Perubatan MADANI dari semasa ke semasa, seperti memasukkan perkhidmatan rawatan pergigian, bagi memastikan ia sentiasa memenuhi keperluan kesihatan rakyat.

Katanya dalam usaha ke arah pendigitalan perkhidmatan kesihatan, ProtectHealth telah membangunkan sebuah aplikasi mudah alih untuk memudahkan urusan pesakit seperti semakan kelayakan, pencarian klinik, semakan baki manfaat di bawah skim itu dan juga pengesahan ‘kata laluan sekali guna’ (OTP) ketika menerima rawatan di klinik.

Dr. Zaliha berkata perkhidmatan berkenaan dipermudahkan lagi dengan mereka yang layak hanya perlu membawa kad pengenalan ke mana-mana klinik yang berdaftar selain boleh menyemak kelayakan menerusi aplikasi MySejahtera.

Skim Perubatan MADANI menyasarkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah supaya mereka dapat memanfaatkan perkhidmatan percuma dengan mudah dan cepat di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan skim tersebut.

Perkhidmatan yang ditawarkan meliputi konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan dengan kerajaan menampung sepenuhnya kos rawatan di klinik swasta agar dapat mengukuhkan jaringan perlindungan kesihatan dan membantu meringankan beban kewangan rakyat.

Mengenai pengisian utama Program Madani Afiat yang telah dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kedah, Terengganu dan Johor, beliau berkata ia melibatkan aktiviti ‘Touch Point’ berupa lawatan dari rumah ke rumah yang turut memberi peluang kepada penglibatan pihak pengurusan tertinggi KKM, pemimpin masyarakat serta pasukan perubatan.

Di samping itu, program statik turut diadakan dengan kerjasama agensi-agensi selain KKM yang terlibat untuk mengadakan aktiviti-aktiviti interaktif kepada pengunjung.

“Aktiviti saringan yang menjadi pendekatan utama dalam promosi kesihatan dan dilaksanakan dalam program ini di beberapa negeri terdahulu telah merekodkan sejumlah 2,049 penduduk berusia 18 tahun ke atas yang berjaya disaring,” katanya.

Pada majlis itu, turut berlangsung Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Negeri Perak yang melibatkan pelepasan peserta Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda yang merupakan program jangkau luar Perkhidmatan Farmasi Penilaian Ubat-Ubatan di Rumah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com