KUALA LUMPUR: Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro, yang sedang dalam rangka lawatan negara selama empat hari di Malaysia, menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.
Perdana Menteri tiba di hotel penginapan Kiro pada 2.40 petang dan sesi kunjungan hormat itu bermula kira-kira 3 petang dan berlangsung lebih kurang setengah jam.
Hadir sama pada sesi kunjungan hormat itu ialah pasangan Kiro, Dr Richard Davies.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan yang juga menteri pengiring Hannah Yeoh, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki.
Sementara delegasi New Zealand yang turut hadir pada sesi kunjungan hormat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Pam Chong Dunn dan timbalannya Sharmila Bernau.
Kiro tiba di sini semalam bagi lawatan negara selama empat hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ini merupakan lawatan sulung Kiro ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak menjawat jawatan Gabenor Jeneral New Zealand pada 21 Okt 2021.
Kali terakhir New Zealand mengadakan lawatan peringkat ketua negara ke Malaysia adalah pada 5 hingga 8 Dis 2017 oleh Dame Patsy Reddy.
New Zealand merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan jumlah dagangan keseluruhan bagi kedua-dua negara setakat Jun 2023 bernilai RM6.32 bilion (AS$1.42 bilion), meningkat 15.3 peratus berbanding RM5.48 bilion (AS$1.27 bilion) bagi tempoh sama pada 2022.