BENTONG: Kerajaan memutuskan untuk menyalurkan subsidi berjumlah hampir RM400 juta bagi premis kerajaan seperti kem tentera, polis dan asrama sekolah menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan beras putih tempatan dalam pasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dapat meningkatkan bekalan beras tempatan kira-kira lima peratus, jumlah yang digunakan oleh premis kerajaan berkenaan.
“Beras tempatan tak cukup disebabkan harga beras import naik, ada hotel pun sudah pakai beras tempatan. Lima peratus penggunaan ini (oleh premis kerajaan), kita beri subsidi beli beras import supaya lima peratus boleh dipulangkan, berada lebih di pasaran.
“Keputusan ini hari ini (premis kerajaan) beli hanya beras import…berapa subsidi? Hampir RM400 juta, kerana ia bukan percuma,” katanya semasa berucap pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini semalam.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Pada 28 Sept lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata akan membawa cadangan supaya premis kerajaan menggunakan beras import bersubsidi sebagai langkah mengembalikan beras tempatan ke pasaran.
Sementara itu Anwar berkata kerajaan mengakui kekurangan beras dan kenaikan harga beras import, yang antara lain disebabkan keputusan 18 negara menghalang atau menghadkan eksport beras.
“Untuk lakukan (beri subsidi beras import), politik mesti stabil, ekonomi kena baik dan pelaburan kena datang, barulah ekonomi meningkat, dan bila untung kita boleh agihkan kepada rakyat. Ini yang kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata bagi mengatasi masalah kekurangan beras, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga diingatkan untuk ‘betul-betul aktif’ menghantar beras ke kawasan yang terjejas bekalan.
“Apabila dengar ada tempat kurang beras, mereka kena hantar. Kalau perlu, Kementerian Kewangan akan tambah peruntukan untuk bawa beras ini. Kita bayar kepada FAMA,” katanya.