Sunday, 12, May, 2024
Utama Negeri Ibu ayah hiba terima skrol diploma arwah anak sulung

Ibu ayah hiba terima skrol diploma arwah anak sulung

oleh Ammar Haziq

KULIM- Suasana hiba menyelubungi Dewan Mu’adzam Shah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) apabila nama pasangan Ahmad Hazami Hassan, 53, dan Hartini Abdul Rahim, 53, diumumkan untuk menerima skrol bagi mewakili arwah anak mereka.

Allahyarhamah Aein Hatirah Ahmad Hazami, 24, graduan Diploma Pemasaran merupakan puteri sulung daripada empat orang cahaya mata pasangan ini.

Menurut Ahmad Hazami, beliau dan isterinya memang menyimpan hasrat besar untuk hadir meraikan hari graduasi anak mereka itu sejak dari hari pertama mendaftar masuk ke PTSB sekitar tiga tahun yang lalu. Namun apa yang berlaku ini adalah ketentuan dari Allah S.W.T.

“Kami amat terharu. Terima kasih PTSB kerana menjemput kami dan mengadakan sesi khas penyerahan diploma ini,” ujarnya sebak.

“Pemergian Kak Yong pada 30 Oktober 2022 lalu penyudahnya amat baik sekali dan kami sekeluarga redha dengan ketentuan-Nya. Tiada siapa menjangkakan beliau akan pergi buat selamanya kerana tiada sebarang tanda yang ditunjukkan, tambahan pula beliau tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau penyakit serius.”

Menurut bapanya lagi, Allahyarhamah sempat menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Pemasaran di UniKL.

Anaknya itu turut menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian yang lebih tinggi sehingga ke peringkat doktor falsafah.

Seramai 1,178 graduan diraikan sempena Majlis Konvokesyen kali ke-17 PTSB yang diadakan pada 1 dan 2 Oktober 2023 dan merangkumi empat (4) sidang. Daripada jumlah tersebut seramai 360 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, 201 graduan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, 265 graduan Jabatan Kejuruteraan Awam dan 352 graduan Jabatan Perdagangan.

Dalam pada itu, Pengarah PTSB, Mohd Ruzi Hamzah berkata bagi tahun ini PTSB berjaya mencatat 94.7 peratus kebolehpasaran graduan. Sejak dua dekad penubuhan PTSB bermula pada tahun 2003 hingga kini menjadikan jumlah keseluruhan graduan yang dihasilkan telah mencecah 22,164 orang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com