KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengambil penuh tanggungjawab kekalahan kepada Tajikistan 0-2 pada final Pestabola Merdeka 2023 pada malam Selasa.
Menurutnya, beliau memohon maaf kepada penyokong Malaysia kerana gagal untuk menghadiahkan kejuaraan yang telah lama dinanti-nantikan sejak sekian lama.
“Kita perlu belajar dari kesilapan dan bukannya mengkritik mereka yang melakukan kesilapan. Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan ini kerana saya yang membuat keputusan atas semua perkara di dalam padang dan pemain sudah lakukan yang terbaik.
“Saya meminta maaf kepada penyokong Malaysia kerana tidak berjaya memberikan kejuaraan yang telah lama dinantikan oleh semua. Kami sentiasa bermain untuk menang tetapi bukan setiap masa kita akan beroleh kemenangan. Apa yang penting adalah kita menang sama-sama, kalah sama-sama,” katanya.
Pengendali dari Korea Selatan itu mengakui pasukannya menerima tekanan yang berlebihan dari pelbagai pihak untuk melihat Malaysia muncul juara dan perkara itu menjadi salah satu tidak mampu beraksi pada tahap yang sebenar.
Jelasnya, Harimau Malaya perlu segera bangkit dan melupakan kekecewaan kerana pertandingan penting menanti mereka selepas ini.
“If you want to attack just attack me, leave the player alone.
“Kita mahu segera melupakan kekecewaan ini dan bergerak ke hadapan untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November dan juga Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024,” ujar beliau.