KUALA LUMPUR: Melihat peristiwa kemalangan rakan sekerja meninggal dunia selepas jatuh dari pencawang telekomunikasi beberapa tahun lepas membuatkan Zulkarnain Hamzah, 46, mengalami tekanan emosi sehingga disahkan menghidap penyakit skizofrenia pada 2006.
Bagai jatuh ditimpa tangga, Zulkarnain terus diuji apabila ibunya meninggal dunia kerana sakit tua pada 2021 dan pemergian abangnya pada tahun lepas akibat kanser, menyebabkan tekanan emosinya bertambah teruk sekali gus hilang daya untuk bekerja, menguruskan diri dan kediaman.
Kisah sedih beliau dikongsikan oleh kakaknya, Azlina Hamzah, 48, ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan siri 2/2023 di Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.
“Adik saya (Zulkarnain) sangat gembira selepas melihat keadaan rumah yang begitu cantik dicat dengan warna yang ceria, beberapa sudut rumah juga telah dibaiki seperti siling, paip bocor dan perkara ini memberi ketenangan kepadanya.
“Saya mewakili beliau mengucapkan terima kasih dan sangat bersyukur atas usaha yang dilakukan oleh Parlimen Bandar Tun Razak dan tak sangka rumah ini kembali cantik sama sewaktu ibu bapa kami masih hidup,” katanya.
Azlina berharap rumah itu mampu beri nafas baharu kepada adiknya serta pulih daripada mengalami masalah gangguan emosi.
Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata program itu adalah inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak yang telah diperkenalkan pada Mac 2023.
“Program ini menyediakan kemudahan pengubahsuaian tanpa kos kepada peserta untuk mengubah suai satu unit rumah bagi golongan B40 yang terpilih yang dikenal pasti.
“Bagi permulaan, kos pengubahsuaian seunit rumah dianggarkan menelan kos RM30,000 manakala untuk program rumah kedua dan seterusnya adalah melalui tajaan daripada pelbagai pihak swasta, pekilang, pemaju perumahan dan lain-lain lagi,” katanya.
Wan Azizah berkata rumah Zulkarnain merupakan rumah kedua yang telah dibantu selepas sebuah kediaman di Apartmen Seri Penara, Bandar Sri Permaisuri pada Mei lepas.
“Kita ubah suai rumah ini menunjukkan bahawa kita komited untuk meningkatkan lagi taraf hidup terutama rakyat miskin bandar supaya dapat memperbaiki suasana rumah ini.
“Tiada sasaran dalam inisiatif ini kerana kita hendak mencari orang yang betul-betul memerlukan bantuan, jadi kadang-kadang saringan ini akan mengambil masa dan ada kekangan daripada kontraktor namun kita akan cuba untuk terus membantu,” katanya.