Friday, 17, May, 2024
Utama Nasional Infineon rancang bina kilang di Kulim

Infineon rancang bina kilang di Kulim

oleh admin

PUTRAJAYA – Infineon Technologies AG (Infineon) mengumumkan rancangan syarikat untuk membina kilang di Kulim, Kedah bagi mengeluarkan 200mm Power Fab SiC (silicon carbide) terbesar di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Infineon akan membuat pelaburan tambahan sebanyak €5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dalam fasa kedua pembinaan modul 3.

“Saya mengalu-alukan pengumuman pelaburan daripada Infineon yang membuktikan kepercayaan mereka terhadap Malaysia.

“Pengumuman ini adalah lanjutan daripada perbincangan saya dengan pihak syarikat iaitu Ketua Pegawai Operasi, Dr. Rutger Wijburg, pada 24 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak lima dekad lalu, Infineon menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab
penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip di Batu Berendam, Melaka.

Jelasnya, keyakinan berterusan Infineon terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

“Ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik.

“Pengumuman ini juga selaras dengan gagasan Ekonomi Madani yang mensasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com