DENGKIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, harga beras import bagi pasaran tempatan terutama yang dikendalikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berada dalam keadaan terkawal.
Menurut beliau, soal monopoli oleh Bernas sudah diputuskan kerajaan, malah termanya sudah dipersetujui bagi tempoh konsesi selama 10 tahun bermula dari 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.
“Setakat ini, kita dapat pastikan bahawa beras import Bernas itu memang terkawal. Tapi kita boleh teliti (dakwaan monopoli Bernas),” katanya ketika ditemui selepas menjamu selera bersama rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berhubung monopoli oleh Bernas dalam pengimportan beras menyebabkan harga beras import kini tidak mampu dibeli oleh pengguna.
Sebelum ini, kerajaan belum bercadang untuk menghapuskan monopoli Bernas sebagai pengimport beras di negara ini kerana yakin dasar pengimport utama beras yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah kaedah terbaik dalam menangani cabaran semasa dan mendatang.