Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Sekolah diarah kawal alatan dibawa pelajar ketika hadiri Minggu Solidariti Palestin

Sekolah diarah kawal alatan dibawa pelajar ketika hadiri Minggu Solidariti Palestin

oleh Ammar Haziq

DENGKIL: Pihak sekolah dinasihatkan supaya mengawal sebarang alatan yang dibawa pelajar terutama ketika Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu masalah seperti membawa senjata mainan itu timbul lagi.

“Itu kita kena kawal. Tadi kita bincang dengan Jemaah Menteri, pertama kita tidak galakkan dan paksa semua sekolah (buat Minggu Solidariti Palestin).

“Keduanya kita kena kawal supaya jangan jadi masalah,” katanya ketika ditemui selepas menjamu selera dan menyantuni rakyat di Kedai Makan Ramli Corner Selera Kampong, di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah arahan agar sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November.

NGO berkenaan menggesa kerajaan agar institusi pendidikan tidak dilibatkan dengan isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama, malah, beberapa wakil rakyat juga menyuarakan bantahan serupa dan mereka mahu sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran.

Sebelum ini, tular gambar menunjukkan murid sekolah memegang senapang mainan, sambil mengenakan skarf dan kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan sekatan aplikasi TikTok terhadap kandungan oleh rakyat Malaysia yang menyokong Palestin, Anwar berkata, mereka (TikTok) telah menafikan perkara itu.

“TikTok telah nafi dakwaan itu tapi kita (Malaysia) akan terus memantau perkara itu,” katanya.
Ditanya juga sama ada Malaysia akan hadir Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bulan depan, Anwar berkata, beliau belum memuktamadkan perkara itu.

“Tengok keadaan. Terlalu awal untuk kita putuskan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada 12 November ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com