KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak melengahkan kelulusan sebarang projek yang sudah diputuskan supaya memudahkan urusan perniagaan kepada semua pihak termasuk pelaburan asing.
Perdana Menteri berkata, tindakan melengahkan pelaksanaan projek sedemikian akan memberi kesan dan kesukaran kepada pelbagai pihak khususnya jika ia membabitkan kepentingan pelabur dan masyarakat.
“Sebab itu kita putuskan tadi, selepas dua minggu, laporan mesti sampai untuk dibentang, pelaksanaan (projek pembangunan) yang sudah diputuskan tadi.
“Kalau tidak, nanti pihak pengurusan tangguh sampai tahun depan kerana katanya bulan Disember ini bulan yang separuhnya cuti. Cuti-cuti juga, tapi dalam Disember itu mesti ada laporan berkala,” katanya berucap melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 di sini semalam.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar berkata, beliau juga masih belum berpuas hati dengan tahap kecepatan bagi meluluskan sebarang projek yang sudah diputuskan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita mahu tahap kecepatan kelulusan projek bukan sahaja di bandaraya (DBKL) tapi seluruh negara.
“Walaupun kita efisyen, tapi tahap kecepatan kelulusan itu masih belum memuaskan, kita tak boleh lengahkan projek yang sudah diputus dan diluluskan. Kita masih tertinggal berbanding negara lain termasuk Vietnam dalam soal kecepatan ini,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, PSKL 2040 sebelum ini ditangguhkan susulan permintaan kerajaan bagi mengubahsuai pelan tersebut supaya dapat diselaraskan mengikut kerangka Madani yang diperkenalkannya.
Bagaimanapun katanya, beberapa pelan dan struktur yang telah dipersetujui sebelum ini tetap diteruskan dengan beberapa penekanan tambahan supaya ia bersesuaian dengan situasi semasa.
“Tentunya beberapa pelan dan struktur yang telah dipersetujui dulu kita teruskan tetapi yang kita masukkan ada beberapa penekanan tambahan, ini termasuk umpamanya isu merakyatkan mana-mana pelan struktur dari segi perumahan, kehijauan (dan) taman.
“Apa yang kita rangkum sebagai yang lebih inklusif. Maka sebab itu sementara kita harus pacu pertumbuhan pembangunan ekonomi, industri dan sektor perkhidmatan, kita tekankan juga soal keselesaan rakyat selain perumahan juga soal perniagaan kecil yang kita kaitkan dengan warung atau gerai (untuk) keselesaan mereka,” katanya.
PSKL 2040 yang dilancarkan adalah bagi menggantikan PSKL 2020 sebagai dokumen perancang tertinggi Kuala Lumpur memacu pembangunan strategik ibu negara Malaysia secara indikatif sehingga 2040.
Bersandarkan visi Bandar Untuk Semua, PSKL 2040 bakal memartabatkan ibu negara Malaysia sebagai bandar raya inklusif berpaksikan pembangunan mampan, pengurusan bertaraf antarabangsa serta jaminan kualiti hidup bandar raya sejahtera.
PSKL 2040 adalah rangka tindakan komprehensif yang mengambil kira perubahan semasa dan masa hadapan seperti perubahan iklim, ekonomi, demografi, gaya hidup dan infrastruktur Kuala Lumpur mendepani persaingan antarabangsa pada abad ke-21.
Menerusinya, Kuala Lumpur pada 2040 bakal menikmati pemerkasaan sektor ekonomi berdasarkan sasaran 100 syarikat multinasional baharu di kawasan primernya seawal 2030.
Selain, lonjakan 1.08 juta penduduk bekerja dengan kadar penyertaan 75 peratus, peningkatan penyertaan tenaga buruh kepada 1.2 juta termasuk 120,000 pekerja sektor informal, dan menjana 35 juta orang pelancong antarabangsa dan domestik dengan sasaran jumlah perbelanjaan pelancong mencecah RM77 bilion.