Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional China, Malaysia komited eratkan hubungan bilateral

China, Malaysia komited eratkan hubungan bilateral

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: China bersedia berusaha bersama dengan Malaysia untuk menyuntik “konotasi” dan momentum baharu ke dalam perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara, kata Naib Presiden China Han Zheng di sini pada Khamis.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia. Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencapai kata sepakat penting untuk bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia. Ini telah menggariskan rangka tindakan untuk perkembangan hubungan dua hala pada era baharu.

“China menyifatkan Malaysia sebagai sahabat dan rakan strategik yang penting dan sentiasa menyokong Malaysia dalam memilih laluan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negaranya sendiri, serta bersedia bersama Malaysia dan saling menyokong dalam menangani isu-isu berkaitan dengan kepentingan teras bersama.

“China juga bersedia bersama dengan Malaysia untuk merancakkan pembinaan bersama yang berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menggalakkan pertukaran yang lebih erat pada semua peringkat antara kedua-dua negara dan memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, kebudayaan, pelancongan, pendidikan, sains dan teknologi untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat,” kata Han.

Han tiba di Malaysia pada Rabu untuk lawatan rasmi empat hari.

Beliau turut menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan Han, Anwar berkata hubungan Malaysia-China bersifat istimewa dan strategik.

“Malaysia menyokong konsep dan inisiatif anjuran China seperti pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan dan BRI.

“Malaysia juga bersedia memperkasa kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang dan mengalu-alukan perusahaan China untuk melabur dan menjalankan perniagaan di Malaysia demi kemakmuran dan pembangunan bersama,” kata Anwar.

Han berkata tahun depan merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.

“China bersedia berusaha sama dengan Malaysia untuk mengeratkan hubungan dua hala.

“Dengan berpandukan pembinaan bersama komuniti berkongsi nasib, China bersedia bekerjasama dengan Malaysia bagi memacu pembinaan bersama yang berkualiti tinggi di bawah BRI, saling menyediakan bantuan dalam mendorong pelaksanaan rancangan pembangunan negara masing-masing dan menambah konotasi baharu ke perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

“China sentiasa menjunjung konsep berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi bagi memperincikan kerjasama dengan negara jiran dan bersedia memperkasa kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang dengan negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia untuk menggalakkan kemakmuran dan pembangunan yang stabil dan mampan di rantau ini,” kata Han.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com