Sintok: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah eUsahawan Institusi IPT Terbaik (Best IHL Institution) pada Malam Anugerah MDX 2023 anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Isnin lalu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang mewakili Naib Canselor.
Anugerah MDX mengiktiraf pencapaian cemerlang yang telah menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
Dr. Shahimi berkata, penghargaan ini menyerlahkan sumbangan besar UUM kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
“Anugerah eUsahawan Institusi IPT Terbaik 2023 ini membuktikan pentingnya institusi pendidikan dalam transformasi berterusan Malaysia untuk menjadi sebuah negara digital terkemuka di rantau ASEAN.
“Pengiktirafan ini bukti dedikasi UUM terhadap kecemerlangan dalam landskap digital dan menyokong cita-cita digital negara,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Koperasi dan Keusahawanan (CEDI), Dr. Hasnizam Hassan.
Menurutnya, pengiktirafan UUM di Malam Anugerah MDX ini menekankan komitmen universiti untuk memupuk inovasi, keusahawanan dan kemahiran digital dalam kalangan pelajarnya serta masyarakat setempat.
Acara berprestij ini mengiktiraf individu termasuk organisasi tempatan dan antarabangsa menerusi 37 kategori landskap ekonomi digital termasuk pelabur utama bagi syarikat digital tempatan dan luar negara.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, Malam Anugerah MDX 2023 itu merupakan rentetan kejayaan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 yang bertujuan menjadikan negara sebagai destinasi hab digital Asia Tenggara, sejajar dengan matlamat Ekonomi Madani.
“Ekonomi Madani Malaysia menggabungkan strategi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan, dan mengukuhkan industri tempatan untuk menjadi lebih inovatif, berdaya saing dan mampu berkembang ke pasaran global.
“Kami terus mengembangkan kapasiti dari segi ketersambungan, rangkaian, dan infrastruktur, pada masa yang sama meningkatkan keupayaan kami dari segi pembangunan bakat dan memacu inovasi”, katanya.
Beliau menekankan bahawa MDX mempunyai potensi untuk menarik negara-negara di rantau Asia Tenggara untuk membuka ‘pavilion’ di ekspo itu, seterusnya menjadikan Malaysia destinasi utama untuk acara sebegitu.
Acara MDX 2023 selama tiga hari itu menampilkan pameran dan ucapan oleh ikon-ikon terkemuka dari pelbagai industri yang berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka melalui beberapa siri persidangan dan sesi rangkaian strategik.
Antara yang hadir ialah penceramah futuris terkemuka dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Zack Kass; Ketua Asia Pasifik Zoom, Ricky Kapur; Penasihat Negara Pejabat Pelaburan Turkiye, Ahmed Emre Buyukkilic dan Pengarah Pihak Berkuasa Peppol Jepun, Hiroyuki Kato.