SAN FRANCISCO: Malaysia perlu melakukan pendekatan reformasi yang sukar dan kurang popular dalam memastikan ekonomi kekal berdaya tahan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, subsidi RM81 bilion yang dibelanjakan tahun ini adalah sesuatu yang tidak mampan kepada ekonomi Malaysia.
“Siapa yang berani untuk menarik subsidi. Para ekonomi kemuka idea menarik, tapi anda akan kalah pilihan raya.
“Jadi kami bertuah kerana ada kerajaan yang secara politiknya kukuh. Kita boleh tarik subsidi tetapi mesti pastikan anda memberi bantuan kepada mereka yang sangat miskin, beri mereka bantuan tunai supaya tidak meletakkan mereka dalam keadaan yang lebih sukar,” katanya.
Tegas beliau, keputusan kerajaan untuk menarik balik subsidi adalah hanya melibatkan 10 peratus golongan teratas.
“Bayangkan, 10 peratus teratas ini menggunkan 50 peratus subsidi untuk berdekad lamanya.
“Saya boleh jadi tidak popular terhadap 10 peratus ini, tapi saya harap yang 90 peratus lagi masih menyokong saya.
“Kita dapat jimat RM4 bilion setahun. Kita baru tarik subsidi ayam, kita belanja RM1 bilion setahun untuk subsidi ayam. Ia memanfaat semua orang di Malaysia termasuk orang paling kaya di Malaysia menikmati ayam bersubsidi. Memalukan.
“Anda (orang kaya) sepatutnya menyokong dan subsidi kepada yang miskin. Syukur harganya tidak naik, kekal di kadar sama. Ia pendekatan tidak popular, yang sukar, tapi ia perlu dilakukan untuk selamatkan ekonomi.
Kami akan lakukannya termasuk petrol, dan beberapa yang lain,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun sempat berjenaka dan berkata: “Kita lihat, (mungkin) sebelum pilihan raya kita hentikan (penarikan subsidi),” katanya berseloroh.