Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri UUM, MBM meterai MoU perkasa peranan belia

UUM, MBM meterai MoU perkasa peranan belia

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Belia memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai agen perubahan yang akan mencorak masa depan negara.

Bagi menggerakkan lagi peranan belia, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menjalinkan kerjasama pintar menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, beliau yakin MoU yang dimeterai itu akan memberi manfaat seiring dengan moto MBM iaitu ‘Belia Pemangkin Aspirasi Negara’.

Menurutnya, pembangunan belia di Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara, justeru pelbagai inisiatif dan program dijalankan untuk memastikan generasi muda Malaysia mendapat pendidikan berkualiti, pembangunan kemahiran, dan peluang untuk berkembang sebagai individu yang holistik.

“MoU ini juga secara dasarnya bertindak sebagai rangka kerja am bagi usaha sama dan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.

“Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi UUM untuk menggerakkan dan mengaktifkan lagi jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU Antara UUM dan MBM di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, pagi tadi.

Tambah beliau, MoU itu juga diharapkan dapat membantu mencorak belia di UUM untuk meningkatkan kemahiran, personaliti dan berdaya saing yang bermanfaat kepada negara.

Sementara itu, Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, meskipun MBM sudah mencecah usia 75 tahun, namun mereka masih memerlukan sentuhan kepakaran UUM untuk membantu MBM perkasa peranan belia di Malaysia.

Katanya, selepas melalui pasca pandemik, belia kini menjadi ‘lost generation’ dan menghadapi cabaran besar yang berbeza.

Sehubungan itu, menurut Mohd Izzat, MBM memerlukan khidmat nasihat pakar dari UUM untuk membantu membentuk anak belia mengatasi cabaran-cabaran dalam aspek seperti ekonomi, politik dan lain-lain lagi.

“MBM telah mula bekerjasama dengan UUM melalui Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 2018 dan antara kerjasama dijayakan adalah mewujudkan ‘Sekolah Politik’ yang penting untuk melihat pembangunan belia ketika itu.

“Saya berharap ilmu di menara gading ini dapat diperturunkan, manakala MBM di peringkat akar umbi akan melaksanakan hasrat tersebut. Kita juga mahu menerusi kerjasama ini, belai mendapat ilmu tentang pengurusan – bagaimana mengurus persatuan, ahli-ahli dan masyarakat,” ujarnya.

Hadir sama, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah; Pengarah IPDM, Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar; Setiausaha Agung, Majlis Belia Malaysia, Hasnul Haniff Harun dan Presiden MBM Kedah, Amir Murshidi Samsuddin serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com