BUKIT KAYU HITAM: Malaysia dan Thailand bersetuju membangunkan kawasan bersempadan di utara Semenanjung dan selatan negara jiran itu sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi baharu bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan dan rundingan dua hala di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawat dari Thailand, Srettha Thavisin.
Pertemuan berkenaan turut disertai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Anwar berkata, segala isu berkaitan, terutama masalah sempadan yang masih berlarutan akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu, malah Malaysia juga menyatakan komitmen sedia menjadi pengantara menyelesaikan konflik di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah di selatan negara itu.
Beliau yang dalam lawatan kerja sehari ke Sadao hari ini, memaklumkan isu lain adalah jaringan lalu lintas supaya lebih pantas dan selesa untuk rakyat kedua-dua negara, industri halal, keselamatan serta masalah pemburuan haram di kawasan hutan di sempadan.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kita akan putuskan secara muktamad. Saya tak mahu tangguh lagi perkara ini kerana kita ada sikap daripada kerajaan Thailand sekarang yang lebih lunak, akrab dan mahu menjadikan kawasan di utara Semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu.
“Berkenaan kelulusan terkini untuk pergerakan antara dua negara kenderaan dari Thailand, ia harus berdasarkan prinsip balasan dalam hubungan antarabangsa. Contoh, jika Thailand meminta kenderaan mereka dibenarkan bergerak sehingga ke Pulau Pinang, kenderaan kita juga harus dibenarkan bergerak pada jarak yang serupa.
“Kita sudah bersetuju, tetapi kita akan menyelesaikan perbincangan secara terperinci. Saya ingin perkara ini diselesaikan dalam dua minggu, kemudian saya mahu nota itu diserahkan kepada pihak Thailand untuk mendapatkan respons dan pihak Thailand juga sedang melakukan perkara yang sama,” katanya.
Bercakap pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam, Anwar berkata, kedua-dua negara juga akan berusaha membangunkan industri halal kerana Thailand memiliki kekuatan dari segi produk makanan, manakala sijil halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Mengenai peranan Malaysia sebagai pengantara rundingan damai yang sedang berlangsung di antara pihak berkuasa Thailand dan kumpulan pemisah, Anwar menegaskan, Malaysia tidak akan campur tangan secara langsung dalam isu berkenaan.
“Ia perkara dalaman, terdapat sedikit ketegangan di selatan Thailand, kita bertanggungjawab untuk meluaskan kerjasama meredakan ketegangan dengan meminta jaminan terhadap kebebasan masyarakat selatan Thailand untuk amalkan agama mereka, budaya serta bahasa, tapi tertakluk kepada undang-undang dan peraturan Thailand.
“Saya melihat ada kemahuan oleh Perdana Menteri Thailand untuk mencari penyelesaian secara serius dan kita akan terus berperanan sebagai fasilitator yang diketuai bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin,” katanya.
Katanya, kedua-dua negara turut bersetuju agar jawatankuasa pasukan tugas bersama yang berkaitan dengan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keselamatan makanan serta keselamatan bertemu secara berkala tanpa perlu menunggu mesyuarat tahunan pemimpin kedua-dua negara.