Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Pusat pemindahan kekal bencana akan diwujud segera di sembilan negeri

Pusat pemindahan kekal bencana akan diwujud segera di sembilan negeri

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) akan diwujudkan segera, dengan projek rintis dimulakan di sembilan negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata PPKB itu melibatkan kos siling RM5 juta bagi setiap pusat dan bakal menjadi satu kemudahan perlindungan mangsa banjir yang lebih baik berbanding pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita hadapi banjir setiap tahun, tak munasabah hanya jadikan PPS sahaja, sebab itu kerajaan putuskan untuk segera ditubuhkan PPKB.

“Jadi pusat ini mungkin juga boleh jadi pusat aktiviti komuniti (di luar musim banjir) tetapi dengan satu persiapan (hadapi banjir) agar ia lebih baik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) sama ada kerajaan ada perancangan dan tindakan untuk menambah baik kemudahan asas PPS di seluruh negara.

Menjawab soalan asal Shamshulkahar mengenai persediaan kerajaan dalam pengurusan bencana banjir dan musim Monsun Timur Laut, Anwar berkata RM241 juta peruntukan awal telah disalurkan untuk kegunaan 164 daerah, di bawah semangat Malaysia MADANI.

Beliau berkata persiapan prabencana juga ditingkatkan melalui pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti, malah Jabatan Pengairan dan Saliran sudah mengenal pasti 5,648 lokasi hotspot banjir.

“Kerja-kerja penyelenggaran telah dilakukan selain aktifkan bilik kawalan operasi, pusat ramalan dan amaran banjir yang beroperasi 24 jam. Kita juga tempatkan 737 pam bergerak di semua lokasi hotspot banjir seluruh negara serta menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web,” katanya.

Perdana Menteri berkata 66,169 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat, berada dalam keadaan bersiap siaga merangkumi Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, dengan sokongan 25,440 unit pelbagai aset.

Anwar berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 PPS, dengan kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa di seluruh negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com