Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Saya tak halang atau letak syarat ketat beri peruntukan wakil rakyat – PM

Saya tak halang atau letak syarat ketat beri peruntukan wakil rakyat – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

Anwar berkata, beliau mahu peraturan dihormati iaitu Ahli Parlimen pembangkang perlu melakukan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof terlebih dahulu berhubung peruntukan pembangunan kawasan seperti kelaziman yang diamalkan dalam sistem demokrasi.

“Runding dahulu, saya tidak pernah meletakkan syarat atau prasyarat untuk menyokong Perdana Menteri… tak perlu ada syarat menyokong Perdana Menteri.

“Ada beberapa peraturan (runding soal peruntukan dengan kerajaan) yang dilakukan dalam mesyuarat yang lalu (ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang).

“Saya (kadang-kadang) aneh, wakil (kerajaan terdahulu) yang berundingan dulu kini di sebelah sana (pembangkang)… dia tahu prosesnya berapa kali berunding, tapi sekarang macam tak tahu langsung,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang masih belum dimuktamadkan.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini belum ada rundingan secara rasmi berhubung peruntukan itu dilakukan oleh blok pembangkang.
“Justeru saya tegaskan YB Arau, soal peruntukan tak usah dipanjangkan… runding dengan baik dan selesaikan, tiada syarat ketat.

“Saya dengar kempen-kempen (pembangkang) maki hamun saya, (tuduh) Perdana Menteri tak guna, minta sokong baru beri peruntukan… saya tak pernah sebut begitu,” kata beliau.

Anwar menyifatkan tidak munasabah jika pembangkang enggan mengadakan rundingan sedangkan mereka sendiri mahukan adanya semangat kerajaan-pembangkang yang demokrasi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com